Arjen Robben tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejut apabila Bayern Munich dengan pantas telah memintas Borussia Dortmund selaku pendahulu Bundesliga.

Dortmund, yang tidak pernah kalah dalam tujuh aksi awal di bawah kendalian Peter Bosz, meninggalkan Bayern dengan lima mata, namun situasi itu bertukar sebaik sahaja Jupp Heynckes memegang jawatan pengurus di Allianz Arena.

Skuad Die Roten meraih kemenangan ketujuh berturut-turut selepas membenam cabaran Dortmund 3-1 di Signal Iduna Park, awal pagi tadi dan membolehkan mereka mengungguli liga dengan kelebihan empat mata berbanding pasukan di tangga kedua, RB Leipzig, dan meninggalkan Dortmund di tempat ketiga dengan perbezaan enam mata.

"Kami telah kembali ke prestasi asal tetapi harus mengekalkan momentum." kata Robben yang membuka tirai jaringan untuk meraih gol ke-93 buat Bayern.

"Seharusnya kami berasa gembira kerana sejak kehadiran pengurus baru, kami telah mengubah keadaan daripada ketinggalan lima mata kepada meninggalkan Dortmund dengan enam mata.

"Jika anda memberitahu saya tentang perkara ini beberapa minggu lalu, saya akan katakan anda gila," tambahnya.

Bagi pemain sayap Dortmund, Christian Pulisic, dia kekal positif walaupun kecewa dengan permulaan aksi pasukannya di Signal Iduna Park.

"Kami tidak memulakan perlawanan dengan lebih baik dan jelas tidak bersedia.

"Dormund mengubah corak dalam babak kedua dan berpeluang untuk menewaskan lawan tetapi ia sudah terlambat.

"Kami akan terus berjuang, berlatih bersungguh-sungguh dan memperbaiki setiap kelemahan. Itu paling penting," ujar Pulisic.