Bayern Munich berpotensi besar perlu beraksi tanpa khidmat Arjen Robben, Franck Ribery dan Javi Martinez dalam aksi Bundesliga di Darmstadt pada hujung minggu ini selepas ketiga-tiganya tidak menyertai sesi latihan semalam kerana mengalami kecederaan kecil.

Robben, Ribery dan Martinez melakukan sesi latihan sendiri di pusat prestasi, dengan pemain Belanda dan Perancis itu perlu mengikuti beberapa program khusus akibat kecederaan otot, manakala bekas pemain Bilbao Athletic itu memberi fokus kepada latihan pemulihan.

Robben yang berusia 32 tahun dibelenggu kecederaan pada awal musim ini dan hanya membuat sembilan penampilan dalam Bundesliga bagi musim 2016-17.

Ribery sementara itu, juga terpaksa berehat daripada beberapa perlawanan kerana mengalami masalah otot selepas permulaan cemerlang musim ini.

Martinez yang beraksi sepanjang 90 minit dalam tiga perlawanan terakhir Bayern dalam Bundesliga, terpaksa diketepikan ekoran masalah hamstring dan dia masih belum 100 peratus cergas.

161216ARJENROBBEN

Bayern dilihat bakal menamatkan separuh pertama musim ini di kedudukan teratas liga selepas berjaya meraih kemenangan 5-0 ke atas Wolfsburg, minggu lalu.