Niko Kovac berkata Franck Ribery dan Arjen Robben telah membentuk Bayern Munich dan Bundesliga.

Bermain dalam aksi terakhir liga untuk Bayern, gandingan veteran, Ribery dan Robben, menjaringkan gol ketika membantu Bayern menjuarai liga buat kali ketujuh berturut-turut dengan mengatasi Eintracht Frankfurt 5-1 semalam.

Ribery dan Robben –- yang bakal meninggalkan kelab selaku ejen bebas penghujung musim ini dan bakal menghadapi aksi final Piala DFB berdepan RB Leipzig -- hadir sebagai pemain gantian dan menamatkan karier mereka di Allianz Arena dengan penuh bergaya.

Kovac memuji gandingan itu dengan memberitahu, "Saya membuat dua nota untuk pertemuan hari ini. Salah satunya adalah kami mahu bergelar juara. Tetapi kami mahu memastikan pengakhiran yang sempurna buat Robben dan Ribery.

"Mereka hadir dalam perlawanan sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol. Ia menunjukkan mereka memiliki semangat yang tinggi.

"Mereka telah membentuk Bundesliga selama 10 tahun. Mereka yang membentuk pasukan ini.

Di sebalik membantu Bayern mempertahankan kejuaraan serta dalam perjalanan untuk mengejar Piala DFB, masa depan Kovac masih belum jelas.

"Saya telah bercakap dengan pihak kelab. Jika apa yang dikatakan tidak salah, saya akan terus bersama pasukan ini. Kontrak saya masih berbaki dua musim lagi," ujarya.