Penggempur Bayern Munich, Arjen Robben, menegaskan kepulangannya ke pangkuan PSV Eindhoven pada akhir musim nanti sama sekali tidak terlintas dalam fikirkannya ketika ini.

Tonggak kebangsaan Belanda itu mencuri perhatian di PSV setelah membuat penampilan pertama dalam kariernya di Groningen, sebelum berhijrah ke Chelsea pada 2005, dan kemudiannya menyertai Bayern pada 2009 selepas dua tahun berkelana di Real Madrid.

Kontrak Robben bersama Bayern akan berakhir pada Jun 2017 dan dia masih belum memulakan sebarang rundingan baru.

Namun, pemain berusia 32 tahun itu belum mahu memikirkan soal itu kerana mahu memberi fokus untuk kekal cergas.

"Saya tidak memikirkan soal kemungkinan kembali ke PSV," kata Robben dalam sidang media menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang bekas kelabnya itu.

"Saya sentiasa berhati-hati untuk memberi komen mengenainya. PSV dan Groningen adalah kelab penting buat saya, namun soal pulang ke Belanda tidak bermain di minda saya ketika ini.

"Kembali ke sini adalah cukup istimewa sekali dan saya tidak sabar untuk beraksi. Sungguhpun dapat kembali beraksi di sini, itu tidak bermakna saya akan kembali mewakili mereka sebagai pemain.

"Saya menyertai PSV pada usia 18 tahun. Ketika itu, saya masih lagi tinggal sebumbung dengan keluarga sebelum berpindah ke sini dengan isteri saya.

"Suasananya baru dan berbeza. Dua tahun di PSV adalah detik paling penting buat saya dan kami memiliki skuad istimewa ketika itu.

"Kontrak baru dengan Bayern? Kegusaran utama saya ketika ini adalah untuk kekal cergas dan kemudian kita tunggu dan lihat. Itu sahaja yang boleh saya katakan mengenai potensi kontrak baru saya ketika ini."