Bayern Munich mendapat khabar gembira berkenaan kecergasan Arjen Robben menjelang kunjungan getir berdepan Borussia Dortmund.

Penggempur itu ditimpa masalah kecederaan ringan di bahagian otot apabila dia terpaksa dikeluarkan pada waktu rehat sebagai langkah berjaga-jaga dalam kemenangan 3-1 Belanda ke atas Luxembourg dalam aksi Kelayakan Piala Dunia.

Sejurus tamat permainan, dia mendakwa kecederaan itu serius, sebelum Bayern mengesahkan tahap kecederaannya itu tidak membimbangkan.

"Berita baik mengenai Arjen Robben," menurut kenyataan dari laman rasmi sesawang kelab itu.

"Pemeriksaan pada hari Isnin mendedahkan tiada kecederaan serius berlaku. Tiada halangan untuk pemain sayap Belanda itu beraksi dalam perlawanan Bundesliga menentang Dortmund, Ahad ini.

"Robben dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran masalah kecil di bahagian paha."

Robben, 32, menjadi watak penting buat Bayern sejak dia kembali diturunkan -- menjaringkan empat gol dalam sembilan penampilan musim ini -- susulan masalah fizikal yang menghalangnya beraksi pada awal musim.