Jupp Heynckes menjelaskan Thiago Alcantara mengalami kecederaan otot yang serius ketika membantu Bayern Munich menundukkan Anderlecht 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di tempat lawan, awal pagi tadi, manakala Arjen Robben tidak menerima sebarang kecederaan berat.

Thiago digantikan sebelum tamat babak pertama oleh Javi Martinez dalam aksi yang menyaksikan Bayern bergelut untuk mendapatkan gol awal sementara Robben dikeluarkan ketika separuh masa kedua berusia tiga minit.

Selepas perlawanan, Heynckes mendedahkan seluruh pasukan berdebar menantikan perkembangan bintang Sepanyol itu.

"Thiago mengalami masalah otot yang serius," kata Heynckes kepada Sky.

"Robben tidak begitu teruk. Kami harus menunggu sehingga proses imbasan dilakukan."

Heynckes tidak berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan skuad bimbingannya, yang meletakkan Bayern kini di belakang Paris Saint-Germain (PSG) dalam carta Kumpulan B selepas ketinggalan tiga mata.

Anderlecht memiliki peluang keemasan ketika separuh masa pertama tetapi pelawat lebih bernasib baik apabila memecah kebuntuan menerusi jaringan Robert Lewandowski dan Corentin Tolisso, namun Heynckes menyifatkan anak buahnya bernasib baik mencatat kemenangan.

"Kami bermain dengan teruk dalam babak pertama dan memberikan dua atau tiga peluang terbuka buat tuan rumah.

"Sudah tentu anda perlu berterus-terang tentang perkara itu. Kami masuk ke padang dan memikirkan ia akan menjadi mudah kerana lawan tidak memiliki sebarang mata. Akibatnya, kami sering melepaskan bola dan memberi banyak ruang buat mereka," tambahnya.