Arjen Robben berkata dia belum mengadakan sebarang rundingan mengenai kontrak baru di Bayern Munich tetapi tenang mengenai masa depannya.

Kontrak pemain sayap berpengalaman itu akan berakhir hujung musim ini dengan dia akan menginjak usia 34 tahun, dan spekulasi mengaitkan dia akan bersara dan bukannya memperbaharui perjanjian.

Bekas pemain Chelsea dan Real Madrid itu masih belum didekati oleh pegawai Bayern mengenai hal itu, namun dia menegaskan ia tidak ada dalam fikirannya sekarang.

"Saya sangat santai," katanya kepada media Sky di Jerman. "Saya tidak pernah didekati oleh sesiapapun dan saya tidak terburu-buru, saya berasa bagus dan hanya memberi tumpuan kepada bola sepak."

Robben menjaringkan gol ke-100 dalam Liga Juara-juara (UCL) dalam kemenangan 3-0 ke atas Celtic di Allianz Arena semalam serta mencipta gerakan kepada Mats Hummels untuk gol ketiga pasukannya.

Bekas pemain antarabangsa Belanda itu yang bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas kegagalan pasukannya layak ke Piala Dunia baru-baru ini, gembira dengan kejayaan pasukannya tetapi lebih berminat untuk memenangi trofi saingan Eropah itu sendiri.

"Ia sesuatu yang istimewa," katanya. "Sekiranya bukan kerana beberapa kecederaan, saya boleh melakukan lebih baik lagi.

"Saya boleh berbangga dengan pencapaian ini tetapi ia bukan mengenai rekod, saya lebih suka memenangi trofi," katanya.