Pengurus Real Madrid, Julen Lopetegui, meredakan kepentingan pertembungan 'El Clasico' pada malam ini yang dilabel akan menjadi penentu kepada masa depannya sendiri sambil mendakwa "saya tidak fikir saya akan mati" tanpa mengambil kira apa jua kesudahannya perlawanan itu nanti.

Laporan di Madrid mencadangkan khidmat Lopetegui di Santiago Bernabeu akan tamat minggu depan tanpa mengira bagaimana penampilan di Barcelona, namun pengurus berbangsa Sepanyol itu pastinya lebih berminat untuk membicarakan aksi itu berbanding jawatannya.

Ditanya apakah perlawanan menentang anak buah Ernesto Valverde itu adalah misi hidup atau mati baginya, Lopetegui menjawab: "Saya tidak fikir saya akan mati, setiap orang mempunyai tenaga tertentu, saya memberi tumpuan kepada pasukan.

"Saya memberi tumpuan terhadap tugas saya sebagai jurulatih, itulah yang saya boleh lakukan untuk memperbaiki pasukan.

"Apa yang anda (media) katakan tidak membantu saya memenangi atau memperbaiki pasukan, kami cuba meningkatkan kecekapan di bahagian pertahanan dan serangan untuk bersedia menghadapi perlawanan yang sangat mencabar."

Madrid menuju aksi malam ini dengan menghuni tempat ketujuh La Liga, empat mata di belakang musuh ketat mereka itu, namun Lopetegui menegaskan ia bukanlah satu kesengsaraan dan kesuraman.

"Kami bukan dalam situasi yang tidak dapat dipulihkan, kita masih berada pada bulan Oktober," katanya. "Kami telah mengharungi beberapa perlawanan yang baik musim ini tetapi mungkin hasilnya tidak selalu seperti yang dihajati.

"Anda (media) melihat permainan dari sudut pandangan yang lain berbanding kami."

Menurut Lopetegui, Barcelona akan turun tanpa Lionel Messi selepas bintang Argentina berkenaan mengalami kecederaan tangan ketika menentang Sevilla hujung minggu lalu, begitupun itu tidak semestinya menjadikan tugas Madrid lebih mudah.

"Kami akan memberi tumpuan kepada diri sendiri, kami tahu apa yang ada di hadapan kami," katanya.

"Apabila anda perlu bertahan, anda perlu melakukannya dengan baik. Anda perlu berada di tahap tertinggi untuk menghasilkan permainan terbaik.

"Saya tidak fikir ia penting jika terdapat pemain bintang atau tidak, kami akan menghadapi pasukan yang baik," ujarnya.

Lopetegui mengesahkan Marcelo boleh diturunkan, termasuk Isco manakala Dani Carvajal pemain tunggal yang akan terlepas aksi.