River Plate mengekalkan gelaran mereka selaku juara Copa Libertadores 2018 selepas rayuan Boca Juniors ditolak Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

River muncul juara selepas menewaskan Boca 5-3 secara agregat selepas masa tambahan dalam perlawanan final kedua pada 28 Disember 2018.

Perlawanan itu terpaksa dimainkan di Santiago Bernabeu, Madrid selepas bas yang dinaiki pasukan Boca diserang sewaktu dalam perjalanan ke Stadium El Monumental, yang sepatutnya menjadi venue perlawanan itu.

Selepas rayuan mereka ditolak oleh Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Boca mengemukakan rayuan mereka kepada CAS agar kemenangan River dibatalkan kerana kelakuan penyokong mereka.

Bagaimanapun, CAS beranggapan keputusan itu terlalu berat dan hanya mengenakan hukuman beraksi di stadium kosong sebanyak dua perlawanan Copa Libertadores buat skuad kendalian Marcelo Gallardo itu.

Dalam satu kenyataan, CAS berkata: "Panel CAS mendapati bahawa walaupun River Plate telah melanggar peraturan tatatertib CONMEBOL, ia tidak membolehkan mereka untuk dibatalkan penyertaan dalam Copa Libertadores 2018 kerana hukuman itu dianggap berlebihan dalam kes ini.

"Panel menganggap hukuman yang sesuai untuk dikenakan kepada River Plate ialah perlawanan dengan stadium tertutup dalam dua perlawanan Copa Libertadores yang akan datang,"


Editor: Muzaffar Musa