Risiko besar gandingkan Messi, Dybala – Sampaoli

Oleh Penulis Jemputan 5 Oktober 2017 2718
Risiko besar gandingkan Messi, Dybala – Sampaoli
Jorge Sampaoli berkata ia terlalu berisiko untuk menggandingkan Lionel Messi dan Paulo Dybala dalam kesebelasan permulaan sambil Argentina semakin terdesak untuk layak ke Piala Dunia tahun depan.

Argentina menanti kunjungan pasukan di tangga keempat, Peru, ke Buenos Aires, hari ini, dengan skuad kendalian Sampaoli berpaut pada kedudukan kelima dalam carta kelayakan CONMEBOL, yang sekadar melayakkan mereka ke peringkat play-off.

Dengan sebegitu banyak yang menjadi pertaruhan di La Bombonera, ketua jurulatih, Sampaoli, berkata beliau berasa berat hati untuk menamakan pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi, dan Dybala dalam kesebelasan permulaan kerana kedua-duanya jarang digandingkan.

“Disebabkan kesuntukan masa untuk menggilap gandingan Dybala-Messi, kami terpaksa memilih sesuatu yang lebih konkrit,” kata Sampaoli, yang berasa yakin Argentina akan layak ke Russia.

Dybala, yang menonjol bersama Juventus musim ini dengan menyumbang 12 gol dalam semua pertandingan, sebelum ini mengakui adalah sukar untuk bermain bersama Messi kerana kedua-duanya mengisi posisi yang sama.

Kepada komen Dybala itu, Sampaoli mengulas: “Saya tidak nampak apa yang dikatakan Dybala sesuatu yang buruk. Dia mengatakan dia gembira bermain bersama Messi tetapi dia gagal menemui tempatnya.”

“Leo (Messi) perlu bergerak di padang seperti lazim dilakukannya bersama kelabnya,” sambung Sampaoli. “Untuk mencipta satu posisi untuk dia membangunkan satu sistem atau menstrukturkan dia, itu sesuatu yang gila.

"Apabila kami menggunakan formasi 4-2-3-1, dia bermain lebih jauh ke hadapan, sentiasa berdekatan dengan kotak penalti. Jauh dari kotak penalti pula meletakkan pemain terbaik kami jauh daripada posisi membuat jaringan dan itulah yang dilakukannya dengan terbaik di kelabnya.

"Ia adalah tugas saya untuk membuat dia faham bahawa dia penting dalam melakukan penyudahan, di kawasan sepertiga terakhir padang,” katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen