Ribery mohon maaf insiden tolak pengadil

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2019 233
Ribery mohon maaf insiden tolak pengadil
Franck Ribery telah memohon maaf susulan insiden dia menolak pembantu pengadil ketika Fiorentina tewas di tangan Lazio dalam aksi Serie A, kelmarin.

Ribery -- yang menyertai kelab Itali itu selepas meninggalkan Bayern Munich di penghujung musim 2018-19 -- menolak pengadil sebanyak dua kali di atas padang setelah The Viola tunduk 2-1 di tangan anak buah Simone Inzaghi itu.

Bekas pemain Perancis itu dibawa keluar ketika permainan berbaki 14 minit dan kini berdepan kemungkinan untuk digantung.

Dia menggunakan media sosial untuk memohon maaf kepada pegawai perlawanan serta kesemua warga Fiorentina.

"Saya meminta maaf mengenai aksi semalam (kelmarin)," katanya.

"Saya meminta maaf kepada rakan sepasukan, jurulatih serta peminat. Saya juga memohon maaf kepada Matteo Passeri kerana di penghujung perlawanan, saya sangat sedih dan diharapkan dia boleh memahami situasi yang saya hadapi.

"Saya sentiasa mahu kekal di atas padang dan membantu rakan sepasukan kerana saya hadir ke Florence untuk kelab dan bandar ini. Saya fikir Fiorentina perlu meraih lebih banyak perhatian, sama seperti kelab lain kerana usaha keras yang kami lakukan setiap hari."

Sebelum itu, pemilik Fiorentina, Rocco Commisso, mendakwa kegagalan video bantuan pengadil (VAR) untuk menafikan jaringan kemenangan Ciro Immobile telah mencetuskan suasana tegang.

"Agak mencurigakan dengan apa yang berlaku terhadap kami kerana ia akan memberi kesan untuk jangka masa panjang," katanya.

"Ribery sedikit gemuruh dan dia salah walaupun memiliki alasan. Lihat nanti bagaimana kami teruskan kemaraan."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen