Franck Ribery enggan mengambil risiko terlalu awal untuk kembali daripada kecederaan apabila bersikap tenang dalam mengembalikan kecergasannya di Bayern Munich.

Ligamen lutut kirinya terkoyak ketika seri 2-2 menentang Hertha Berlin pada awal bulan lalu dan dijangka akan berehat panjang.

Namun, proses pemulihan Ribery memperlihatkan kemajuan yang baik sambil dia mengatakan berasa "hebat", sungguhpun tidak tergesa-gesa untuk kembali menjalani latihan penuh.

"Sudah tentu saya berasa hebat sekarang, tetapi kami perlu mengawal proses pemulihan ini dan saya tidak mahu mengambil risiko," katanya kepada saluran rasmi Bayern.

"Saya tahu saya belum mencapai tahap 100 peratus lagi, namun saya sudah boleh bekerja keras di dalam gelanggang tertutup dan di atas padang.

"Kami akan mengadakan peperiksaan lanjut pada minggu depan dan jika semuanya 100 peratus bagus, maka secara perlahan-lahan saya dapat berlatih dengan bola lagi," katanya.

Ribery sering bergelut untuk mencapai kecergasan terbaik dalam musim-musim terakhir ini dan tidak berkesempatan untuk memulakan 20 perlawanan Bundesliga sejak kempen 2012-13 yang menyaksikannya memainkan peranan besar ketika Bayern menjulang tiga gelaran utama.