IRELAND UTARA 1 USA 2

Amerika Syarikat merakamkan kemenangan kelima berturut-turut dalam semua pertandingan hasil jaringan Giovanni Reyna dan Christian Pulisic untuk menang 2-1 dalam aksi persahabatan dengan Ireland Utara.


Ia merupakan pertembungan pertama antara dua negara itu, USA mendahului selepas 30 minit apabila pemain tengah Borussia Dortmund, Reyna, melakukan percubaan yang terbias gagal ditampan keluar Conor Hazard.

Ia merupakan jaringan kedua Reyna dalam empat penampilan buat negaranya, dengan gol tersebut menjadikan dirinya pemain termuda untuk meledak gol di tempat lawan buat USA, (18 tahun dan 135 hari) sejak Pulisic ke atas Saint Vincent dan Grenadines pada September 2016 (17 tahun dan 350 hari).

Pulisic menggandakan jaringan pelawat pada minit ke-59, meledak gol menerusi sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh Daniel Ballard. Ia merupakan penglibatan gol yang kelapan bintang Chelsea itu dalam 10 penampilan buat negaranya (lima gol, tiga assist).

Pemain gantian, Niall McGinn, merapatkan kedudukan buat Ireland Utara pada minit ke-88 namun terbukti terlalu lewat buat skuad kendalian Ian Baraclough, yang tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan.