COLOGNE 1 BORUSSIA DORTMUND 1

Jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, menyifatkan kehadiran Marco Reus memainkan peranan penting ketika seri 1-1 dengan Cologne dalam aksi Bundesliga, semalam.


Pemain kebangsaan Jerman itu menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk membantu pasukan meraih satu mata.

Reus terlepas aksi pembukaan musim 2016-17 kerana mengalami kecederaan tetapi Tuchel berkata Reus merupakan pemain yang berkualiti serta berpengaruh di dalam pasukan.

"Reus adalah pemain yang tidak boleh diganti buat kami," kata Tuchel.

"Perlawanan ini telah membuktikannya."

Dortmund bergelut untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan Cologne yang lebih bertahan selepas bertemu Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) dan Tuchel percaya minggu yang sibuk merupakan punca pemain-pemainnya gagal mempamerkan aksi yang konsisten.

"Kami terpaksa bekerja keras sehingga penghujung perlawanan dan ia merupakan satu mata yang sangat berharga. Kami perlu menerimanya dan bersedia untuk aksi akan datang."