BORUSSIA DORTMUND 2 BORUSSIA MONCHENGLADBACH 1

Marco Reus mencuri tumpuan tatkala Borussia Dortmund berkelebihan sembilan mata di puncak Bundesliga selepas menewaskan pasukan di tangga kedua, Borussia Monchengladbach, 2-1, awal pagi tadi.


Pemain kebangsaan Jerman itu menghasilkan jaringan pada minit ke-54 untuk penampilannya yang ke-250 dalam Bundesliga diraikan dengan kemenangan pasukan itu sebelum waktu rehat pertengahan musim.

Dortmund, yang tewas buat kali pertama kepada Fortuna Dusseldorf, Selasa lalu, hampir menempa nasib sama apabila jaringan kontroversi Christoph Kramer memadam kelebihan awal yang dihasilkan Jadon Sancho.

Monchengladbach mungkin dapat mengurangkan defisit mata terhadap pendahulu liga itu, namun mereka mempersia-siakan peluang untuk meraih kemenangan.

Reus menguji gawang Yann Sommer pada minit ke-20 dan percubaan Paco Alcacer dari jarak 12 ela pula tersasar jauh.

Walaupun Alcacer terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan paha pada minit ke-34, Dortmund terus menguasai perlawanan dan memecah kebuntuan menerusi sepakan leret dari sudut sukar yang dihasilkan Sancho.

Monchengladbach menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama apabila Kramer menewaskan Roman Burki walaupun bola kelihatan terkena tangannya terlebih dahulu sebelum gol tersebut terhasil.

Reus kemudian menjaringkan gol kemenangan Dortmund selepas memanfaatkan hantaran daripada pemain gantian, Mario Gotze, sembilan minit selepas perlawanan bersambung.

Dengan kemenangan itu, Dortmund kekal selaku pendahulu liga sehingga mereka bertandang ke laman RB Leipzig, 19 Januari ini.