Marco Reus berkata dia malu dengan prestasi Borussia Dortmund sewaktu mencatat keputusan seri 3-3 menentang Paderborn di laman sendiri walaupun jaringan minit akhir penggempur Jerman itu memberikan satu mata buat pasukannya dalam aksi Bundesliga semalam.

Dortmund, yang tewas 4-0 di tangan Bayern Munich dalam perlawanan terakhir sebelum tempoh rehat antarabangsa, ketinggalan 3-0 sebelum rehat ketika menentang kelab kelompok bawahan itu.

Streli Mamba menghasilkan dua gol dan Gerrit Holtmann turut menemui sasaran buat skuad kendalian Steffen Baumgart itu tatkala Dortmund kehilangan Paco Alcacer sebelum rehat akibat kecederaan.

Dortmund memperbaiki persembahan selepas aksi bersambung, menyaksikan Jadon Sancho mengurangkan jurang gol dan Axel Witsel memberikan harapan buat tuan rumah ketika permainan berbaki enam minit.

Sancho kemudian melakukan hantaran lintang buat Reus untuk menghasilkan gol penyamaan buat tuan rumah ketika permainan memasuki waktu kecederaan, sekali gus mengelakkan daripada ditimpa kekalahan memalukan walaupun kapten itu jelas tidak gembira dengan persembahan pasukannya.

"Kami tidak boleh bermain seperti itu lagi," katanya selepas Dortmund melepaskan peluang untuk naik ke tangga kedua Bundesliga.

"Jelas sekali ia prestasi buruk dan kami memalukan. Kami meminta maaf kepada semua peminat."

Tekanan kian memuncak buat pengurus Dortmund, Lucien Favre, tatkala pasukannya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah bulan ini tetapi Reus mempertahankan ketua jurulatih itu.

"Jurulatih meletakkan kami dalam posisi terbaik sepanjang masa. Kami bertanggungjawab mempamerkan aksi hebat di atas padang. Tidak perlu bercakap tentang pengurus, sebaliknya kami," tambahnya.

"Jika 80,000 orang datang ke sini pada Jumaat, kami tidak mampu menawarkannya."

Dortmund bakal ketinggalan lapan mata daripada puncak liga sekiranya Borussia Monchengladbach mencipta kemenangan di Union Berlin malam ini.