Marco Reus dan Mats Hummels masih belum menyertai sesi latihan Borussia Dortmund.

Kapten kelab itu, Reus, diketepikan ketika pasukannya menewaskan Borussia Monchengladbach 2-1 dalam DFB-Pokal awal pagi semalam gara-gara kecederaan otot.

Penyerang kebangsaan Jerman itu baru sahaja pulih daripada masalah kesihatan ketika terikat 0-0 dalam perlawanan "Revierderby" dengan Schalke hujung minggu lalu manakala pertahanan tengah, Hummels, turut berdepan masalah sama.

Penjaga gol, Roman Burki, yang turut mengalami masalah kesihatan, kembali tersenarai untuk menyertai rakan sepasukannya menjelang pertemuan Bundesliga dengan Wolfsburg di Signal Iduna Park.

"Roman Burki sudah mula berlatih dan kelihatan baik. Marco Reus dan Mats Hummels masih belum.

"Kami masih perlu memantau perkembangan mereka," kata pengurus pasukan itu, Lucien Favre.

Julian Brandt boleh disenaraikan dalam kesebelasan utama seandainya Reus masih perlu direhatkan dan Favre memuji bekas bintang Bayer Leverkusen itu, yang membuka akaun jaringannya dalam Bundesliga musim ini dengan gol berganda ketika menewaskan Monchengladbach.

"Julian Brandt berdiri teguh dan beraksi dengan hebat dari kawasan tengah.

"Dia bukan sahaja menjaringkan dua gol, malah turut membantu barisan pertahanan," tambah Favre.

Dortmund sedang menduduki tangga kesembilan Bundesliga, satu mata di belakang Wolfsburg selepas sembilan perlawanan.