Pemain tengah Bayern Munich dan Portugal, Renato Sanches, telah dinobat selaku Pemain Muda Terbaik Eropah tahun 2016.

Sanches menewaskan rakan sepasukan, Kingsley Coman, dan penyerang Manchester United, Marcus Rashford, selepas tiga pemain tersebut disenarai pendek daripada 40 calon.

Pemain berusia 19 tahun itu akan meraih trofi tersebut di sebuah majlis yang diadakan di Monte Carlo pada Isnin.

Sanches mengikat kontrak lima tahun di Allianz Arena pada Mei dan seterusnya membantu Portugal menjuarai Euro 2016 di Perancis, beraksi dalam enam daripada tujuh perlawanan.

Anugerah tahunan itu -- yang diwujudkan oleh akhbar Itali, Tuttosport, pada tahun 2003 dan diundi oleh panel wartawan dari seluruh benua Eropah -- diberikan kepada pemain di bawah umur 21 tahun yang telah membuat impak besar dalam arena bola sepak.

Penyerang United, Anthony Martial, muncul pemenang anugerah itu tahun lalu.

Bintang Barcelona, Lionel Messi, merupakan pemenang pada tahun 2005, setahun selepas dimenangi Wayne Rooney.

Bagaimanapun, pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo, tidak pernah dianugerahkan trofi tersebut.