Rekod sentiasa datang dengan sendiri - Ronaldo

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2019 212
Rekod sentiasa datang dengan sendiri - Ronaldo
UKRAINE 2 PORTUGAL 1

Penyerang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo, berkata dia tidak taksub untuk mencipta rekod memandangkan ia datang dengan sendiri buatnya selepas menjaringkan gol ke-700 dalam kariernya.


Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti dalam babak kedua sewaktu Portugal tewas 2-1 di tangan Ukraine dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Kiev, awal pagi tadi.

Penyerang berusia 34 tahun itu tidak melakukan kesilapan selepas Taras Stepanenko dipersalahkan susulan bola terkena tangan di dalam kotak penalti, namun ia tidak cukup buat Portugal tatkala mereka tewas buat kali pertama sejak Piala Dunia 2018.

Kekalahan Portugal di Stadium Olimpik itu jelas mewujudkan perasaan bercampur-baur buat Ronaldo selepas mengesahkan namanya dalam senarai pemain elit yang mencapai angka tersebut.

"Tidak semua pemain mampu meraih pencapaian ini," katanya.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan serta jurulatih yang membantu saya menjadi pemain seperti hari ini.

"Saya kecewa kami tidak menang tetapi berbangga dengan pasukan."

Bercakap mengenai pencapaian peribadi, Ronaldo menambah: "Berapa banyak rekod saya miliki? Saya tidak tahu. Saya perlu menikmati detik ini dan terima kasih buat mereka yang membantu saya mencapai kejayaan ini.

"Kali terakhir saya beraksi di sini adalah sewaktu memenangi Liga Juara-Juara Eropah, ia detik indah pada masa lalu. Hari ini, kami bermain baik tetapi tidak menang.

"Rekod datang dengan sendiri dan saya tidak mencarinya. Ia yang mencari saya! Tanpa rasa taksub, ia berlaku dengan sendiri."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen