Rehat tambahan julang Rose, kata Pochettino

Oleh Penulis Jemputan 22 November 2017 336
Rehat tambahan julang Rose, kata Pochettino
Danny Rose ditonjolkan untuk menerima sanjungan Mauricio Pochettino selepas kemenangan 2-1 Tottenham ke atas Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi sambil menyifatkan pemain pertahanan  itu meraih manfaat direhatkan ketika berdepan Arsenal.

Rose tidak tersenarai dalam kesebelasan Spurs ketika tewas 2-0 dalam ‘derby’ London kepada Arsenal dan Pochettino berasakan keputusan merehatkannya benar-benar berbaloi dengan prestasi cemerlangnya di Signal Iduna Park.

Rose terbabit sama dalam beberapa serangan terbaik pasukannya ketika Harry Kane dan Son Heung-min membuat jaringan dalam separuh masa kedua untuk memacu Spurs meraih kemenangan selepas ketinggalan kepada gol pendahuluan Pierre-Emerick Aubameyang.

“Danny Rose sangat bagus," Pochettino memberitahu BT Sport. "Saya sangat gembira dengannya. Saya fikir dia menunjukkan apa yang kami jangkakan daripadanya hari ini. Rehat pada Sabtu lalu telah meningkatkan tahap kecergasannya.

"Mustahil untuk menanganinya jika anda sentiasa bermain dengan 11 pemain yang sama – mereka bukannya mesin. Mujur kami ada pemain seperti Erik Lamela, Victor Wanyama dan Toby Alderweireld di dalam pasukan,” katanya.

Keputusan itu memastikan skuad Pochettino akan berkesudahan selaku juara Kumpulan H.

“Kami sangat gembira untuk berkesudahan di tangga teratas berdepan dengan Real Madrid dan Borussia Dortmund," katanya. “Ia satu pencapaian besar buat pasukan ini dan saya sangat gembira dengannya.

"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain. Ia masanya untuk berkongsi dengan penyokong yang menakjubkan hari ini. Selepas kekecewaan Sabtu lalu, ia hebat untuk menikmati kemenangan semula,” tambahnya.

Kane pula berasakan Spurs telah membuktikan pengkritik mereka tersilap dengan mengungguli kumpulan yang mengandungi pencabar-pencabar hebat, dengan berkata: “Ia sangat besar, ia sukar dipercayai buat kami, buat penyokong dan buat kelab ini.”

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen