Impak Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) diharap akan membuahkan hasil kepada skuad B-19 negara, yang akan beraksi dalam Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober depan.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, turut mengharapkan pemain daripada program khas itu mampu menyerlah secara individu, sama ada dalam saingan liga peringkat domestik atau di pentas luar negara.

“Sudah tentu diharapkan (pemain PPBN) mampu menjadi nilai tambah kepada pasukan kebangsaan dan apa yang penting adalah hasil daripada pembangunan peringkat awal yang sudah dijalankan sebelum ini.

"Saya mahu melihat apakah keputusan, walaupun saya bukanlah pemula PPBN kerana pemula adalah menteri-menteri lalu.

“Permulaan ideanya datang daripada Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum idea itu digubal secara komprehensif di bawah Khairy Jamaluddin

"mungkin kejayaannya nanti kita boleh tengok selepas banyak pelaburan dilakukan, sejak tiga empat tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

Semalam, Reezal Merican meninjau persiapan skuad B-19 kendalian Brad Maloney di Wisma FAM bersama timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta Presiden FAM dan MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata walaupun masih belum boleh menjalani latihan secara kontak, semangat serta kekuatan ditunjukkan pasukan itu begitu mengagumkan untuk menyinar di Tashkent, Uzbekistan, kelak.

“Saya diberi taklimat mengenai kesediaan pasukan ini, dan walaupun bola sepak pada waktu ini dalam tempoh PKPP (perintah kawalan pergerakan pemulihan) hanya dibenarkan latihan tanpa kontak, saya boleh lihat kesungguhan dan semangat 35 pemain yang menjalani latihan.

“Diharapkan dengan perkembangan dalam satu atau dua hari ini, akan ada perubahan beberapa bentuk sukan yang boleh dibuka dan lebih dibenarkan, yang kita sedang dapat pada waktu ini.

"Situasi ini akan menyaksikan latihan (bola sepak) dapat dijalankan secara penuh dan boleh memastikan tahap persediaan mereka lebih berkesan dalam menghadapi kejohanan itu,” katanya.

Skuad B-19 negara diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014, Qatar, selain Tajikistan dan Yaman, dalam pusingan akhir kejohanan B-19 itu dan kini sedang menjalani latihan sejak 6 hingga 26 Julai ini.

Esok, Reezal Merican bakal membentangkan cadangan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP, yang dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk latihan secara kontak penuh dengan harapan untuk Liga Malaysia dan kejohanan sukan lain dapat dimulakan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA