RED STAR BELGRADE 2 LIVERPOOL 0

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui kelemahan pasukannya kini boleh dimanfaatkan seteru dalam Liga Perdana Inggeris selepas The Reds tewas 0-2 kepada Red Star Belgrade dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Aksi menarik dipamerkan Milan Pavkov dalam separuh masa pertama memaksa skuad kendalian Klopp itu meraih keputusan yang bertentangan dengan kemenangan 4-0 terhadap lawan yang sama, dua minggu lalu.

Kekalahan itu juga menyaksikan mereka gagal mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan C.

Dengan pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris, Fulham, akan bertandang ke Anfield hujung minggu ini, Klopp mahu pasukannya itu memperbaiki segala kesilapan dan memaparkan peningkatan bagi memastikan rekod tanpa kalah mereka kekal dalam saingan domestik.

"Kami akan melalui perjalanan yang panjang ke England. Kami ada banyak masa untuk berfikir dengan perlawanan menentang Fulham menanti kami hujung minggu ini," kata Klopp kepada BT Sport.

"Mereka mungkin menyaksikan perlawanan itu dan mengenal pasti kelemahan kami.

"Kami akan pastikan kelemahan-kelemahan itu tidak akan berulang," tambahnya.

Barisan penyerang Liverpool gagal menyudahkan peluang terhidang seperti yang diharapkan Klopp.

Klopp juga memberi gambaran barisan pertahanan menjadi punca kepada dua jaringan yang dihasilkan Pavkov.

"Sudah pasti mereka tahu ada yang tidak kena.

"Lawan mempunyai peluang tetapi kami juga memperoleh peluang yang kebiasaannya disudahkan dengan jaringan.

"Mereka bertahan dengan baik, namun mereka memperoleh terlalu banyak sepakan percuma yang kemudian disudahkan dengan jaringan. Situasi sama memberikan mereka jaringan kedua.

"Keadaan selepas itu tidak sama. Mereka mula mengenal pasti kelemahan kami.

"Mereka bermain dengan semangat tinggi dan itu menyukarkan kami.

"Kami memperbaiki kelemahan selepas waktu rehat. Kami menguasai babak kedua, namun tidak berjaya menghasilkan gol.

"Sadio Mane dan Mohamed Salah mempunyai peluang yang baik, namun mereka gagal menemui sasaran.

"Jika kami berjaya menyudahkan salah satu peluang tersebut, keadaan pasti berbeza.

"Kami berusaha keras, namun mereka layak mendapat tiga mata," katanya lagi.