Real perlu lepaskan Bale secara percuma -- Mijatovic

Oleh Penulis Jemputan 30 Oktober 2019 3251
Real perlu lepaskan Bale secara percuma -- Mijatovic
Bekas penyerang Real Madrid, Predrag Mijatovic, menggesa kelab gergasi Sepanyol itu untuk sedia melepaskan Gareth Bale walaupun terlepas daripada menerima sebarang yuran perpindahan.

Bintang Wales itu berhijrah ke Sepanyol dari Tottenham pada 2013 dan menjadi salah seorang tonggak Los Blancos.

Namun, masa depan Bale menjadi perbualan utama sejak jendela perpindahan yang lalu dan pemain berusia 30 tahun itu bertekad untuk meninggalkan pasukan.

Ketika ini, gajinya sebanyak GBP350,000 (RM1.8 juta) seminggu menyukarkan kelab itu mendapatkan tawaran dan Bale kekal di Madrid, di mana dia sekadar melakukan tujuh penampilan kesebelasan utama dalam semua kejohanan musim ini.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu kini di tangga keenam saingan LaLiga selepas menampilkan persembahan kurang cemerlang, termasuk melakar hanya satu kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Juara-Juara (UCL).

"Real mahu menjualnya musim panas lalu tetapi gagal mendapatkan jalan penyelesaian," kata Mijatovic.

"Keputusan harus dilakukan, kontraknya masih berbaki tiga tahun dan perkara itu yang merumitkan keadaan.

"Daripada segi bilangan, saya rasa Bale sudah menguntungkan pasukan. Jika gaji yang ditawarkan tidak memberikan motivasi kepadanya, ia lebih baik untuk melepaskan pemain itu secara percuma dan mengambil semula gaji tersebut."

Ketika Mijatovic berkata Bale "gemar tinggal di Sepanyol", dia menambah bahawa persepsi orang ramai trhadap pemain itu tidak begitu baik.

"Memiliki pemain seperti Bale, yang dikatakan tidak bersatu dengan pemain lain, memiliki kebimbangan yang lebih besar berbanding pasukannya. Perkara paling utama baginya adalah Wales, kemudian golf dan Real Madrid pula yang ketiga."

Mijatovic telah menjaringkan 44 gol dalam 117 penampilan untuk Real. Dia menjaringkan satu-satunya gol ketika aksi final Liga Juara-Juara (UCL) pada 1998 untuk  memastikan kemenangan ke atas Juventus di Amsterdam.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen