Real Madrid tidak pernah penat untuk menang -- Solari

Oleh Penulis Jemputan 23 Disember 2018 157
Real Madrid tidak pernah penat untuk menang -- Solari
REAL MADRID 4 AL AIN 1

Ketua jurulatih Real Madrid, Santiago Solari, mendedahkan mentaliti juara yang dimiliki pasukannya itu membantu mereka mencipta sejarah dalam Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Al Ain 4-1 dalam final, awal pagi tadi.


Kemenangan di Abu Dhabi itu menjadikan Real Madrid pasukan pertama meraih tiga kejuaraan berturut-turut dan keempat secara keseluruhan.

Rekod itu turut mengatasi pencapaian seteru mereka, Barcelona, yang pernah meraih tiga kejuaraan.

Kejayaan itu hadir selepas Madrid memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah secara berturut-turut di bawah kendalian bekas pengendali pasukan, Zinedine Zidane, yang meletakkan jawatan, Mei lalu.

Selepas menjulang piala pertamanya selaku pengendali Madrid, Solari berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kejayaan itu.

"Kelab ini meneruskan kejayaan, namun lebih banyak kami menang, lebih banyak kami sedar tentang kesukaran mencari kemenangan.

"Saya menggemari keazaman yang dipamerkan setiap pemain dalam kejohanan ini.

"Kami memaparkan permainan sempurna.

"Bola sepak sentiasa menghadirkan kejutan, namun kami mengatasinya dengan cara yang kami mahukan.

"Banyak yang saya perlu puji.

"Pemain kami tidak penat untuk meraih kemenangan.

"Kami tidak patut melupakan setiap kejayaan yang diperoleh.

"Ia sentiasa perlu diingati dan kami tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan ini," katanya.

Al Ain kendalian jurulatih Croatia, Zoran Mamic, menjaringkan gol penyamaan selepas Luka Modric terlebih dahulu meletakkan Madrid di depan. Namun, jaringan itu dibatalkan selepas dihukum ofsaid. 

Kualiti berbeza dipamerkan Madrid dalam babak kedua.

Jaringan daripada Marcos Llorente, Sergio Ramos dan gol sendiri Yahia Nader memutlakkan kejuaraan keempat buat Los Blancos.

Gol tunggal Al Ain hadir menerusi Tsukasa Shiotani pada minit ke-86.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen