TOTTENHAM HOTSPUR 3 REAL MADRID 1

Real Madrid terus bergelut dengan masalah prestasi pada musim ini apabila tunduk 1-3 di tangan Tottenham Hotspur dalam aksi Kumpulan H, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Wembley, awal pagi tadi.


Selepas tewas mengejut 1-2 di tangan Girona dalam aksi LaLiga pada hujung minggu lalu, skuad kendalian Zinedine Zidane itu jelas tidak mampu mengimbangi tekanan beraksi di tempat lawan.

Pemain tengah Spurs, Dele Alli, yang membuat penampilan pertama dalam saingan UCL musim ini, membuka tirai jaringan pada minit ke-27 selepas Kieran Trippier menyambut baik bola hantaran jauh Harry Winks sebelum melakukan umpanan untuk disudahkan oleh pemain England itu.

Spurs yang kembali diperkuatkan dengan kehadiran penyerang utama, Harry Kane, setelah mengalami kecederaan paha sehingga terlepas aksi menentang Manchester United minggu lalu, terus menambah gol kedua selepas babak kedua bersambung.

Alli yang membawa bola dari tengah padang mudah melepasi halangan Casemiro sebelum menyaksikan rembatannya terkena badan Sergio Ramos sehingga membuatkan Kiko Casilla sekadar memerhatikan bola masuk ke gol untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-56.

Sembilan minit kemudian, giliran Christian Eriksen menambah duka skuad Los Blancos menerusi rembatan kaki kiri selepas menerima umpanan Kane untuk Spurs selesa di depan dengan kedudukan 3-0.

Real Madrid meraih gol sagu hati menerusi Cristiano Ronaldo ketika perlawanan berbaki 10 minit, namun segala-galanya sudah terlambat untuk menyekat kemenangan tuan rumah.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan H, hasrat Borussia Dortmund untuk merebut slot ke pusingan kedua semakin samar selepas sekadar seri 1-1 dengan wakil Cyprus, Apoel Nicosia, di tempat sendiri.

Meskipun Raphael Guerrero memberikan pendahuluan buat tuan rumah pada minit ke-29, gol penyamaan pelawat menerusi Mickael Pote menafikan skuad kendalian Peter Bosz itu untuk meraih tiga mata pertama musim ini.

Keputusan-keputusan itu menyaksikan Spurs kini mendahului carta dengan 10 mata, diikuti Real Madrid (tujuh) sementara Dortmund di tempat ketiga, namun berkongsi dua mata dengan Apoel.