Real Madrid melengkapkan proses menandatangani pertahanan sayap Lyon, Ferland Mendy, dengan bayaran pendahuluan €48 juta (RM225.6 juta).

Los Blancos mengumumkan kedatangan pemain kebangsaan Perancis itu dengan perjanjian hingga Jun 2025, dengan Lyon turut mengesahkan sudah menerima pembayaran berkenaan selain menantikan bayaran tambahan €5 juta (RM23.5 juta).

Mendy menghabiskan selama dua musim di Lyon selepas menyertainya daripada Le Havre pada Jun 2017.

Ia menggambarkan usaha besar Madrid bagi memperkuatkan pasukan itu musim depan selepas turut menandatangani Eder Militao, Luka Jovic dan Eden Hazard.

Zinedine Zidane merombak skuad kendaliannya itu selepas Madrid menamatkan musim dengan mengecewakan di tempat ketiga selain tersingkir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Kedatangan Mendy meningkatkan spekulasi mengenai pertahanan kiri Brazil, Marcelo, dengan Sergio Reguilon dan Theo Hernandez turut merebut posisi berkenaan.

Mendy, 24, melakukan 30 penampilan Ligue 1 buat Lyon selain turut tersenarai dalam kesebelasan utama sebanyak lapan kali dalam Liga Juara-Juara.

Dia juga telah meraih empat penampilan antarabangsa dengan Perancis sejak melakukan penampilan pertama, November lalu.