Penolong jurulatih Real Madrid, David Bettoni, menggesa kesabaran buat Eden Hazard selepas pemain perancang itu menunjukkan tanda-tanda bahawa dia semakin hampir untuk mendapatkan sentuhan terbaiknya ketika menewaskan Deportivo Alaves awal pagi tadi.

Hazard bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya sejak menyertai Madrid daripada Chelsea pada 2019 tetapi dia menjaringkan satu gol dan membantu satu lagi jaringan ketika menewaskan Alaves 4-1 dalam LaLiga.

Pemain berusia 30 tahun itu mencipta jaringan dan bantuan dalam satu perlawanan Madrid buat kali kedua sejak Oktober 2019 sebelum dikeluarkan selepas sejam perlawanan.

Bettoni, yang mengambil alih pasukan itu selepas Zinedine Zidane didapati positif COVID-19, berkata Hazard memerlukan masa untuk mendapatkan kembali sentuhannya.

"Saya fikir Eden sedang melalui semusim setengah yang sukar bersama Real Madrid," katanya dalam sidang media.

"Kami perlu bersabar dengannya, walaupun amat jelas dalam bola sepak, terutama di Real Madrid, kami tidak mempunyai banyak masa untuk bersabar tetapi dengan Eden, saya fikir kami memerlukannya.

"Dia mendapatkan permainan yang amat baik, menjaringkan gol dan melakukan satu bantuan dan saya fikir kita akan dapat melihat prestasi terbaiknya tidak lama lagi. Kita dapat melihatnya sedikit hari ini," katanya.

Casemiro dan Karim Benzema membuka jaringan sebelum Hazard menemui sasaran tetapi Joselu merapatkan jurang buat Alaves.

Benzema kemudian memastikan kemenangan Madrid menerusi gol keduanya selepas Hazard dikeluarkan.