Luka Modric percaya pemain senior Real Madrid masih dahagakan kejuaraan dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pemain tengah Croatia berusia 35 tahun itu pernah menjulang trofi berkenaan sebanyak empat kali sejak menyertai Madrid pada 2012 dan merupakan pemain tertua daripada tujuh tonggak yang telah mencecah usia 30 tahun dalam pasukan itu.

Sergio Ramos (34), Karim Benzema (33), Marcelo (32), Toni Kroos (31), Nacho (31) dan Eden Hazard (30) merupakan pemain lain dalam skuad Madrid yang boleh digelar pemain veteran.

Skuad Los Blancos itu tidak dapat melepasi pusingan 16 UCL dalam dua musim lalu selepas tewas kepada Ajax dan Manchester City, masing-masing dalam musim 2018-19 dan 2019-20.

Bagaimanapun, Madrid layak ke suku akhir musim ini selepas menewaskan Atalanta 3-1 (4-1 secara agregat) awal pagi tadi.

Modric melengkapkan hantaran (89) lebih tinggi berbanding mana-mana pemain lain dalam perlawanan itu dan memiliki lebih sentuhan bola (109) bagi menggambarkan pengaruhnya masih kuat dalam pasukan berkenaan.

"Perkara terpenting adalah kami melepasinya memandangkan kami tidak dapat melakukannya sepanjang dua tahun lalu," katanya kepada Movistar.

"Kami melaluinya setapak demi setapak dan melihat sejauh mana kami boleh pergi tetapi kami telah menunjukkan bahawa masih terdapat keinginan dalam pasukan ini dan mereka mahu meneruskan kemenangan.

"Saya harap kami dapat pergi jauh tetapi apa yang paling penting adalah langkah pertama.

"Ia satu perlawanan yang amat sukar, Atalanta pasukan yang amat fizikal, mereka menolak kami seorang demi sorang di atas padang, mereka tidak berhenti.

"Saya fikir kami telah melakukannya dengan baik sejak dari awal dan gembira untuk berada dalam suku akhir," katanya.

Modric membantu gol pembukaan Benzema buat Madrid sebelum Ramos menjaringkan sepakan penalti dan Marco Asensio menamatkan perlawanan itu dengan gol ketiga pasukannya sejurus selepas Luis Muriel menjaringkan gol sepakan percuma pelawat.

Lima daripada enam bantuan jaringan terakhir Modric disudahkan oleh Benzema dan ketika ditanya mengenai berapa umur sesuai untuk menggambarkan dirinya selaku pemain ketika ini, Modric menjawab "27" sebelum menghuraikan mengenai prestasinya sepanjang beberapa tahun ini.

Dia berkata: "Saya sentiasa katakan yang anda tidak perlu melihat kepada usia, apa yang dilakukan oleh seseorang pemain di atas padang merupakan perkara paling penting, tidak kira seberapa tuanya dia atau seberapa tua pasportnya.

"Fizikal saya dan segala-gala yang sudah saya capai di sini, saya masih dahagakan untuk meneruskannya dengan baik, saya berusaha untuk mencapai semua ini dan berasa baik," katanya lagi.