Zinedine Zidane menegaskan Real Madrid masih belum memenangi apa-apa kejuaraan selepas meraih kelebihan empat mata mengatasi Barcelona di puncak liga susulan kemenangan ke atas Getafe, awal pagi tadi.

Sergio Ramos muncul wira apabila meledakkan gol tunggal kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-79 tatkala pendahulu liga, Real, menang 1-0.

Selepas Dani Carvajal dijatuhkan pemain Getafe, Mathias Olivera, kapten Real, Ramos, tenang menyempurnakan sepakan penalti ketika permainan di Stadium Alfredo di Stefano berbaki 11 minit.

Kemenangan keenam berturut-turut itu membolehkan Real menjarakkan kelebihan mengatasi Barca ketika saingan berbaki lima perlawanan.

Namun, pengendali Los Blancos, Zidane, menolak untuk terlalu memikirkan kelebihan itu.

"Terdapat tiga lagi mata yang penting," katanya.

"Kami perlu menang tetapi tiada apa yang melebihinya. Bagi kami, tiada apa berubah. Kami memiliki lima lagi perlawanan.

"Kami masih belum memenangi apa-apa. Saya tahu situasi ini dan selagi saingan belum tamat, kami tidak boleh berkata apa-apa.

"Kami perlu terus bekerja keras. Kami gembira dan berbangga dengan pasukan. Usaha yang ditampilkan sangat bagus.

"Ini adalah bola sepak tetapi setiap tiga hari adalah kisah baru. Hari ini kami bergelut, sebelum ini dengan Espanyol.

"Kami menentang pasukan kelompok bawah tetapi mereka sentiasa memberikan kesukaran kepada kami. Jika tidak bergelut, anda tidak akan mencapai apa-apa."

Menjelang pertemuan dengan Athletic Bilbao pada Ahad, Zidane menambah: "Kami tahu bakal bergelut. Mereka memberi tekanan tinggi tetapi itu normal.

"Saya fikir dengan kesabaran, setiap matlamat mampu diraih. Itu yang kami lakukan. Tenangkan fikirkan kerana ia adalah detik penting. Anda harus ucapkan tahniah kepada pemain kerana ia bukan sesuatu yang mudah secara mental dan fizikal."