REAL MADRID 2 BARCELONA 1

Nacho cukup gembira dapat mengutip tiga mata penting dalam usaha mempertahankan gelaran LaLiga ketika Real Madrid mempamerkan keampuhan mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas seteru ketat, Barcelona, awal pagi tadi.


Barisan kendalian Zinedine Zidane itu menguasai puncak liga di Sepanyol -- walaupun berpotensi hanya bertahan 24 jam apabila Atletico Madrid beraksi awal pagi esok -- dengan melengkapkan kemenangan berganda 'El Clasico' buat pertama kalinya sejak musim 2006-07.

Madrid menyumbat kedua-dua gol mereka dalam babak pertama menerusi gol tumit Karim Benzema sebelum Toni Kroos menggandakan kedudukan apabila sepakan percumanya terbias sekali gus menewaskan penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen.

Sementara itu, Oscar Mingueza mengurangkan defisit gol selepas sejam permainan tetapi kekentalan tengah Madrid yang dikemudi Nacho dan Eder Militao selepas tonggak utama, Sergio Ramos, ditimpa kecederaan sementara Raphael Varane dijangkiti COVID-19 bagi memastikan Madrid mengekalkan kelebihan mereka hingga ke wisel penamat.

"Kami meraih mata yang sangat penting dalam perlumbaan gelaran," kata Nacho.

"Kini kami perlu terus maju karena masih ada jalan yang panjang.

"Memenangi El Clasico selalu menjadi istimewa dan bagus terutama saingan di puncak liga begitu sengit dengan semua orang berjuang untuk memenangi liga, ia adalah satu kemenangan yang sangat penting."



Madrid menamatkan perlawanan itu di tengah hujan lebat dalam separuh masa kedua dengan 10 pemain selepas Casemiro dibuang padang pada minit ke-90.

Tambah Nacho: "Kami sangat selesa dengan serangan balas. Barcelona ingin menguasai bola tetapi mereka boleh mengancam jadi kami perlu bertahan dengan baik, tetapi kami dapat mendahului dengan dua gol untuk membantu kami menuju kemenangan.

"Kami harus bekerja keras dan akhirnya menang, itu merupakan perkara paling penting."