Real Madrid kuasai FIFPro XI FIFA 2017

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2017 1915
Real Madrid kuasai FIFPro XI FIFA 2017
Cristiano Ronaldo dinobatkan sebagai salah seorang daripada lima pemain Real Madrid apabila juara Sepanyol dan Eropah itu mendominasi Kesebelasan Dunia FIFPro Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2017.

Pemain pertahanan, Sergio Ramos dan Marcelo, serta pemain tengah, Luka Modric dan Toni Kroos, juga dipilih untuk berada dalam pasukan impian, yang mendapat penghormatan dalam majlis Anugerah FIFA di London, awal pagi tadi.

Juventus, yang kalah 4-1 kepada Madrid dalam final Liga Juara-Juara pada Jun lalu, diwakili oleh penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon, yang juga meraih hadiah Penjaga Gol Terbaik FIFA.

Leonardo Bonucci dan Dani Alves -- yang kedua-duanya membarisi juara Serie A, Juve, menentang Madrid di Cardiff tetapi kemudian masing-masing berpindah ke AC Milan dan Paris Saint-Germain (PSG) -- menyempurnakan bahagian pertahanan dalam pasukan gabungan itu, manakala legenda Barcelona, Andres Iniesta, menyertai Kroos dan Modric di bahagian tengah.

Ronaldo berada bersama pesaing hebatnya, Lionel Messi dan Neymar, dalam barisan serangan. Ketiga-tiga penyerang bintang itu juga menjadi calon akhir Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA.

"Ini pencapaian hebat, saya berasa bangga," kata Ronaldo, yang jurulatihnya, Zinedine Zidane, turut berjaya dalam kategori individunya. 

"Ia membabitkan masa dan dedikasi yang banyak. Untuk berada di pentas ini 11 kali (sebagai ahli pasukan FIFPro), ia banyak. Terima kasih kepada semua yang mengundi saya."

Kesebelasan Dunia FIFPro FIFA 2017:

Gianluigi Buffon (Juventus); Dani Alves (PSG), Leonardo Bonucci (AC Milan), Sergio Ramos (Real Madrid), Marcelo (Real Madrid); Luka Modric (Real Madrid), Toni Kroos (Real Madrid), Andres Iniesta (Barcelona); Lionel Messi (Barcelona), Cristiano Ronaldo (Real Madrid), Neymar (PSG).

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen