REAL MADRID 3 LIVERPOOL 1

Liverpool perlu membuktikan bahawa mereka berhak untuk ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) sambil Jurgen Klopp melabel pasukannya gagal menyaingi Real Madrid, sebentar tadi.


Vinicius Junior meledak kedua-dua gol separuh masa pertama sementara Marco Asensio mengukuhkan bekalan 3-1 jaguh LaLiga itu dalam pertemuan pertama berkenaan menjelang timbal balik di Anfield, minggu depan.

Pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold -- yang menjadi perhatian media kebelakangan ini berikutan tercicir dalam senarai terbaru skuad England bimbingan Gareth Southgate -- pastinya ingin melupakan kepincangannya di ibu negara Sepanyol itu apabila gagal mengekang Vinicius untuk gol pembukaan Madrid hasil lambungan yang dijana Toni Kroos sebelum pemain Brazil tersebut menggandakan kedudukan untuk menutup separuh masa pertama dengan 2-0.

Mohamed Salah kemudian mengurangkan defisit 1-2 buat juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal separuh masa kedua, namun pertahanan goyah terus menjejaskan harapan mereka.

Benteng pelawat sekali lagi terdedah dan kesilapannya Alexander-Arnold yang tertanduk bola ke arah Asensio dimanfaatkan tuan rumah untuk gol ketiga.

Pasukan Klopp sama sekali gagal mengatur sebarang percubaan tepat sepanjang babak pertama, kali pertama wakil Merseyside itu gagal melakukan percubaan tepat pada awal perlawanan UCL sejak 2014, maka tidak hairanlah pengurus berbangsa Jerman tersebut langsung tidak berpuas hati.

"Sekiranya kami mahu ke separuh akhir, kami perlu membuktikan kewibawaan," katanya kepada BT Sport.

"Kami tidak menerapkannya terutama dalam separuh masa pertama, jadi satu-satunya perkara menarik yang dapat saya katakan mengenai permainan ini selain daripada kami mendapatkan satu gol, pertemuan ini diadakan secara timbal balik.

"Kami tidak beraksi dengan cukup baik untuk mengancam Real Madrid. Saya benar-benar fikir kami mampu melakukannya. Kami memudahkan pihak lawan, itulah perkara pokoknya."





Ditanya adakah dia bimbang dengan pertahanannya, Klopp sebaliknya mendedahkan masalah utama Liverpool ialah menguasai bola.

Walaupun statistik agak bertentangan dengan hujahnya -- The Reds melengkapkan 85.8 peratus daripada 605 hantaran mereka, berbeza dengan pemain Madrid yang menyempurnakan 82.1 peratus daripada 507 hantaran mereka.

"Gol yang Real Madrid hasilkan adalah melalui pemikiran pantas tetapi kesilapan juga terjadi," katanya.

"Saya tidak senang dengan cara kami beraksi. kami menekan dengan sangat baik, kami memenangi bola tetapi sering kali kami kehilangan bola ketika hantaran kedua, itulah masalahnya.

"Kami tidak dapat mematahkan serangan balas Real Madrid sekiranya kami memberikan mereka bola pada waktu yang salah.

"Jika kami kehilangan bola, ia tidak menjadi masalah seandainya tekanan yang kami berikan membolehkan kami kembali memenangi bola.

"Tetapi kami kehilangan bola pada detik yang salah, menggolekkannya ke kaki mereka kemudian apa yang mereka lakukan adalah menukar tempo permainan, mempercepatkan gerakan menerusi pemain kelas dunia yang sangat pantas.

"Dalam situasi satu lawan satu, itu bukan mudah buat siapa sahaja. Kami harus bertahan dengan lebih baik tetapi ini bukan soal barisan terakhir, ia mengenai apa yang kami sepatutnya lakukan sebelum itu."