Real Madrid beraksi buruk, salahkan saya -- Zidane

Oleh Shaiful Shamsudin 29 November 2020 782
  Real Madrid beraksi buruk, salahkan saya -- Zidane
REAL MADRID 1 ALAVES 2 

Zinedine Zidane mengakui Real Madrid mempamerkan prestasi yang sukar diterima ketika juara bertahan LaLiga itu sekali lagi tumbang.


Cadiz, Shakhtar Donetsk dan Valencia telah menjinakkan Madrid musim ini sementara Deportivo Alaves turut dalam senarai itu hasil kemenangan 2-1, awal pagi tadi. 

Timbul rasa tidak puas hati di kem Madrid berikutan video bantuan pengadil (VAR) tidak memihak mereka selepas rayuan Eden Hazard dan Marcelo untuk dihadiahkan sepakan penalti tidak diendahkan.

Bagaimanapun, pengurus Madrid itu sedar barisan pemainnya memang layak mencatat keputusan sedemikan di stadium Alfredo Di Stefano, di mana pasukan gergasi Sepanyol berkenaan kalah buat kali ketiga dalam saingan LaLiga musim ini.

Kekalahan kepada Cadiz dan Shakhtar juga berlaku di laman sementara mereka itu memandangkan Santiago Bernabeu sedang diubah suai.

 

Lucas Perez dan Joselu memainkan peranan utama memberikan kelebihan 2-0 kepada Alaves sebelum Madrid merapatkan jurang melalui gol jarak dekat Casemiro sementara satu percubaan Isco mengenai palang. 

Bercakap mengenai penalti awal yang diberikan pelawat, ia menyulitkan tugas Madrid untuk bangkit, lebih-lebih mereka bergelut dengan serangan balas Alaves yang bertenaga dan pantas.

"Apabila anda memulakan perlawanan seperti ini, semuanya menjadi rumit. Kami belum sempat fokus," katanya dalam wawancara di Movistar LaLiga.

"Kami tidak akan mencari alasan. Kami menampilkan permainan buruk. Saya sebagai pengurus maka saya harus dipersalahkan.

"Kami perlu mengubah situasi ini. Pada Selasa (Rabu depan), kami akan menghadapi satu lagi perlawanan (melawan Shakhtar). Kami perlu terus berusaha. Kami akan cuba mengubah dinamik pasukan."

Penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois, membuat hantaran lemah yang akhirnya disambar Joselu untuk gol kemenangan Alaves pada awal babak kedua sementara Los Blancos mengalami tamparan hebat apabila pemain sayap bintang, Hazard, perlu dikeluarkan selepas setengah jam aksi.

Bekas tonggak Chelsea itu sering dibelenggu kecederaan sepanjang kariernya di Madrid tetapi kali ini bukan sesuatu yang serius.

"Saya harap dan saya berpendapat bahawa kecederaan Hazard itu adalah kecederaan ringan kerana ia tidak melibatkan otot seperti yang dia katakan," katanya lagi. 


 


Madrid menghuni tangga keempat, enam mata di belakang Atletico Madrid dan Real Sociedad, dan satu-satunya sagu hati mereka ialah menyaksikan Barcelona terus terumbang ambing. 

Tiga kekalahan dalam lima perlawanan terakhir mereka di semua pertandingan adalah prestasi suram buat Los Blancos memandangkan mereka hanya tewas tiga kali dalam 31 perlawanan sebelum ini. 

Casemiro berkata: "Alaves mengambil peluang mereka dengan lebih baik dan saya juga mahu memuji kualiti Perez serta Joselu yang cemerlang di bahagian depan dan beberapa kali hampir menokok gol."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen