Rayuan PSG untuk Rabiot ditolak

Oleh Penulis Jemputan 22 Februari 2018 3817
Rayuan PSG untuk Rabiot ditolak
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengesahkan rayuan Paris Saint-Germain (PSG) terhadap layangan kad kuning kepada Adrien Rabiot ketika menentang Real Madrid dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah telah ditolak.

Rabiot meletakkan pendahulu Ligue 1 itu di depan dalam aksi di Santiago Bernabeu tetapi dua jaringan Cristiano Ronaldo dan satu gol daripada Marcelo memberikan kemenangan 3-1 buat tuan rumah.

Pemain tengah itu dilayangkan kad kuning selepas melakukan terjahan ke atas Luka Modric walaupun ulang tayang menunjukkan bintang Croatia itu terjatuh akibat sentuhan yang sedikit.

Situasi itu membuatkan PSG melakukan rayuan tetapi berdasarkan kenyataan daripada pihak UEFA, ia adalah bidang kuasa Badan Disiplin, Etika dan Kawalan mereka untuk menentukan keputusan kepada kelab Perancis itu.

Pemain berusia 22 tahun itu secara terbuka mengkritik persembahan pasukannya ketika bertemu Los Blancos dan menyifatkan permainan mereka adalah corak sama ketika ditundukkan Barcelona, musim lalu.

"Kami sentiasa bercakap tentang perkara sama, melakukan perkara sama dan akhirnya tewas dengan cara yang sama.

"Sangat bagus apabila dapat menyumbat lapan gol ketika menentang Dijon tetapi aksi sebegini yang sepatutnya diberikan penekanan," kata Rabiot.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen