Fabrizio Ravanelli berkata Itali perlu bekerja keras seandainya berhasrat melantik semula bekas jurulatih, Antonio Conte, berikutan pemecatan Gian Piero Ventura.

Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) mengesahkan pemecatan Ventura malam tadi selepas Itali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

Rekod Itali yang membuat 14 penampilan Piala Dunia berturut-turut berakhir selepas seri tanpa jaringan menentang Sweden di Milan apabila barisan pemain pasukan Scandinavia itu menang dengan agregat 1-0.

FIGC sedang mempertimbangkan "nama-nama penting" untuk menggantikan Ventura dan bekas pemain antarabangsa Itali, Ravanelli, menegaskan negara itu harus berpaling kepada pengurus Chelsea, Conte, yang meninggalkan jawatan itu selepas pencapaian ke suku akhir Euro 2016.

"Saya berasa ia memerlukan kesungguhan untuk mendapatkan Antonio Conte kembali," kata Ravanelli kepada Tuttomercatoweb.

"Saya akan cuba meyakinkannya dalam apa jua cara kerana apa yang dilakukannya dengan pasukan kebangsaan adalah sesuatu yang hebat.

"Dia seorang pakar inovasi dan dia benar-benar tahu bagaimana untuk membina semula keseluruhan skuad.

"Itulah cara Jerman untuk berada di tahap hebat. Jersi Azzurri adalah sesuatu yang perlu anda perlu usahakan dan direbut," katanya.

Berkenaan reaksi kecewa Daniele De Rossi pada babak kedua selepas pemain tengah veteran itu diminta memanaskan badan berbanding Lorenzo Insigne ketika Itali sedang berusaha mencari gol penyamaan, Ravanelli menambah: "Jelas sekali keputusannya (Ventura) tidak dipersetujui pemain. Dia telah kehilangan kredibiliti dalam pasukan dan kecaman De Rossi membuktikannya."