Rashford yakin United "menuju kejayaan"

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2019 1151
Rashford yakin United
CHELSEA 1 MAN UNITED 2

Marcus Rashford percaya Manchester United sedang "meniti kejayaan" selepas meraih kemenangan mengatasi Chelsea 2-1 dalam saingan Piala EFL, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu telah merakamkan tiga kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam semua kejohanan hasil dua jaringan Rashford di Stamford Bridge, yang berjaya membantu pasukan melangkah ke suku akhir.

Rashford membuka jaringan menerusi sepakan penalti dalam separuh masa pertama dan memastikan kemenangan selepas menyempurnakan sepakan percuma, sekali gus meranapkan semangat Chelsea yang bangkit menyamakan jaringan menerusi Michy Batshuayi.

The Red Devils kelihatan berdepan krisis apabila mereka bergelut ketika bertemu Newcastle United, 6 Oktober lalu tetapi keputusan seri 1-1 dengan Liverpool mencetus inspirasi United untuk terus mempamerkan aksi meyakinkan.

Kebangkitan mereka membuat Rashford berasakan tahap keyakinan pasukan sudah mula meningkat.

"Kami telah berada dalam situasi yang sukar," katanya kepada Sky Sports. "Kami masih lagi berusaha untuk melepasi fasa tersebut dan cara menanganinya ialah dengan berhadapan dengan masalah tersebut.

"Tumpuan utama kami adalah meningkatkan mutu permainan dan berkembang kerana kami semestinya sedang menuju kejayaan.

"Banyak yang harus kami perbaiki lagi. Permulaan musim ini tidaklah seperti apa yang dijangkakan tetapi kami perlu menanganinya dan kembali memenangi perlawanan."

Jaringan kemenangan Rashford, gol yang kelima ke atas Chelsea, merupakan sepakan percuma yang berjaya menewaskan Willy Caballero.

Pemain kebangsaan England itu berkata berlatih dengan bola rasmi Piala EFL memberikan keyakinan kepadanya untuk mencuba nasib dari jarak sejauh 27 meter itu.

"Sejujurnya, bola perlawanan memainkan peranan," katanya. "Kami berlatih dengannya untuk melakukan jaringan."

Rashford turut lega apabila tenang mengambil sepakan penalti selepas dinafikan Tim Krul ketika mengatasi Norwich 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Anda perlu sentiasa bersedia dan tenang mengambil sepakan penalti. Saya berasa lega kerana berjaya menjaringkannya dalam perlawanan ini.

"Ia membuatkan perlawanan lebih selesa buat United tetapi jaringan kedua menamatkan kebangkitan pasukan lawan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen