Ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta kejuaraan Piala AFF 2018 menjadi dua misi utama ketua jurulatih baru skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Seperti juga peminat, Cheng Hoe turut bimbang melihat ranking pasukan negara yang kini sudah menjunam ke nombor 174 dunia.

Bakal bertemu Presiden Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam masa terdekat, dia menjelaskan perlawanan persahabatan akan menjadi salah satu agenda utamanya.

Ini kerana pada tahun depan, Malaysia hanya mempunyai satu aksi kompetitif, iaitu bertemu Lubnan yang merupakan perlawanan terakhir pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019.

"Semua jurulatih mempunyai impian tersendiri tetapi saya tidak sangka dalam masa singkat dapat menggalas tugas sebagai jurulatih.

"Semua orang risaukan pasukan Malaysia. Saya pun mengharapkan ranking pasukan kebangsaan melonjak ke tahap yang terbaik.

"Saya harap kami dapat meraih keputusan terbaik dan saya perlu diberikan peluang dan sedikit masa. Saya harap diberikan sokongan, terutama oleh penyokong Harimau Malaya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, berkata langkah badan induk itu melantik Cheng Hoe adalah sebagai peluang buat jurulatih tempatan.

Antara jurulatih yang disegani dalam kancah bola sepak tempatan, Yusoff berharap Cheng Hoe diberi masa lebih sesuai dalam usaha membentuk skuad Harimau Malaya yang lebih ampuh.

"Tidak mungkin kami tidak memberi peluang kepada Tan Cheng Hoe untuk mendapatkan keputusan yang luar biasa.

"Kesempatan daripada segi masa perlu diberikan kepada Tan Cheng Hoe untuk membuktikannya.

"Kami sudah melihat kewibawaan beliau, cuma kami perlu berikan peluang dan masa yang cukup kepadanya," kata Yusoff.