Ranieri puji ketangkasan Schmeichel

Oleh Rob Lancaster 18 Oktober 2016 1
Ranieri puji ketangkasan Schmeichel
LEICESTER CITY 1 COPENHAGEN 0 

Claudio Ranieri memuji Kasper Schmeichel selepas penjaga gol itu mempamerkan aksi menyelamat yang mengagumkan dalam kemenangan 1-0 Leicester City ketika berdepan FC Copenhagen untuk meletakkan mereka di laluan selesa melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. 

Riyad Mahrez menjaringkan gol tunggal dalam aksi Kumpulan G itu di Stadium King Power. Pemain dari Algeria itu menyambut tandukan Islam Slimani untuk menyudahkan peluang dari jarak dekat. 

Begitupun, penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu terhutang budi dengan Schmeichel yang mengecewakan Copenhagen sepanjang 90 minit permainan. 

Penjaga gol itu mengagak cubaan pertama Andreas Cornelius dengan tepat untuk mengelak Leicester daripada dibolosi, sekali gus meneruskan rekod kebal 100 peratus dalam saingan itu. 

"Kami sedar ia perlawanan yang sukar. Copenhagen mencuba sehingga ke saat akhir," kata Ranieri kepada laman rasmi kelab itu. 

"Ia sukar pada awal permainan, namun persembahan kami baik. 

"Ia aksi menyelamat menakjubkan yang dibuat Kasper Schmeichel. Dia berada di tahap yang bagus. Kami berhak tidak dibolosi."

Leicester -- yang menang tiga perlawanan di peringkat Eropah dan hanya dua kali dalam EPL musim ini -- memimpin Kumpulan G dengan kelebihan lima mata berbanding Copenhagen dan Porto yang merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Club Brugge di Belgium. 

Kemenangan seterusnya akan memastikan Foxes meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terakhir, namun Ranieri enggan terlalu yakin mengenai kedudukan selesa mereka.

"Kami berada di kedudukan yang baik ketika ini," tambahnya. 

"Kami mahu meneruskan kemaraan di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, jika tidak, dalam Liga Europa."

Tentang Penulis

Rob Lancaster

Komen