Ralf Rangnick berminat untuk menggantikan Joachim Low sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Jerman.

Bekas pengendali RB Leipzig itu tidak bersama mana-mana pasukan selepas meninggalkan jawatan ketua bahagian sukan dan perkembangan Red Bull tahun lalu.

Low minggu ini mengumumkan bahawa dia akan mengundurkan diri daripada peranannya bersama skuad kebangsaan itu selepas tamat saingan Euro 2020 -- menamatkan eranya selama 15 tahun bersama pasukan itu.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, sudah menjauhkan diri daripada spekulasi itu manakala jurulatih Leipzig, Julian Nagelsmann, yang turut merupakan satu lagi calon popular, kelihatan tidak sesuai untuk menceburi arena antarabangsa pada usia 33 tahun.

Rangnick, bagaimanapun, gembira untuk membincangkan peluang itu dengan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB).

"Ia satu tugas penting buat semua orang. Secara umumnya, saya dapat membayangkan banyak perkara," katanya kepada Sky Sports.

"Ia persoalan mengenai masa yang sesuai. Buat masa ini, saya ada masa. Patutkah DFB menghubungi saya ketika saya sudah tiada masa lagi, ia akan menjadi terlalu lewat.

"Sekarang kita akan lihat apa yang akan berlaku dalam beberapa minggu ini," katanya.

Klopp berasakan Rangnick merupakan individu paling sesuai untuk mengemudi era baru Jerman.

Bercakap sebelum menewaskan Leipzig dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi, dia berkata kepada Sky: "Ralf Rangncik akan melakukan yang terbaik bersama DFB. Dia menjadi pilihan utama saya."