RANGERS 1 YOUNG BOYS 1

Steven Gerrard memuji pasukannya, Rangers, yang menangani kekecewaan terlepas kejuaraan domestik untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Europa awal pagi tadi.


Gol pembukaan Alfredo Morelos hampir meletakkan Rangers selaku peneraju Kumpulan G, namun gol sendiri Borna Barisic pada lewat permainan membolehkan Young Boys mengikat kedudukan di Stadium Ibrox itu.

Ryan Jack dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan tetapi Rangers tetap mengiringi pendahulu kumpulan itu, Porto -- yang menewaskan Feyenoord 3-2 dalam satu lagi perlawanan -- untuk ke pusingan 32.

Gerrard gembira dengan respons yang diberikan pasukannya selepas tewas 0-1 kepada Celtic dalam final Piala Liga Scotland hujung minggu lalu.

"Saya amat gembira kerana kami akan meneruskan aksi di peringkat Eropah selepas Krismas," kata jurulatih Rangers itu.

"Ia memerlukan perwatakan dan keberanian.

"Ia waktu yang sukar sejak hujung minggu lalu.

"Saya tahu bagaimana perasaan ketika tewas dalam final, anda berasa lemah dan memerlukan beberapa hari untuk pulih.

"Untuk kami pulih dan beraksi baik dan layak ke pusingan berikutnya, ia amat luar biasa," katanya.

Rangers melepasi cabaran kumpulan yang sukar itu dan Gerrard berasakan pasukannya telah mengambil "satu langkah ke haluan yang tepat" di bawah kendaliannya.

"Saya tidak akan berdiri di sini untuk meraikan keputusan seri atau menamatkan peringkat kumpulan di tempat kedua.

"Tetapi ayuh berikan pujian terhadap kejayaan ini.

"Kelab ini sudah banyak menderita, saya fikir ini merupakan kali pertama mereka layak ke pusingan kalah mati peringkat Eropah sejak 2011.

"Lapan tahun lalu, mereka memiliki pemain terbaik dan amat jelas, mereka sudah banyak menderita.

"Ini adalah satu langkah ke haluan yang tepat.

"Amat gembira, amat berbangga tetapi saya tidak akan meraikannya dengan berlebih-lebihan," katanya lagi.