Ramsey: Wales miliki masa depan cerah

Oleh Ammar Hakim 11 November 2017 553
Ramsey: Wales miliki masa depan cerah
PERANCIS 2 WALES 0

Aaron Ramsey menegaskan pemain-pemain muda Wales memiliki masa depan yang cerah walaupun tewas 2-0 kepada Perancis dalam satu aksi persahabatan, awal pagi tadi.


Jaringan yang diledak oleh Antoine Griezmann dan Olivier Giroud sudah memadai buat Les Bleus mencipta kemenangan di Stade de France walaupun skuad bimbingan Chris Coleman itu memperbaiki permainan dalam babak kedua dengan menampilkan pemain-pemain muda.

David Brooks, Ethan Ampadu, Tom Lawrence dan pemain muda Liverpool, Ben Woodburn, mempamerkan aksi cemerlang dan Ramsey -- yang hampir meledak gol buat pasukan pelawat ketika perlawanan melewati minit ke-60 -- percaya Wales memiliki masa depan yang cerah walaupun gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

"Mereka adalah pasukan yang berkualiti dan memiliki banyak pilihan, yang ternyata memberikan kesukaran buat Wales," kata Ramsey.

"Kami mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan sebelum berjaya menghasilkan beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

"Ia akan sentiasa menjadi satu tugasan yang sukar berdepan pasukan yang berkualiti tetapi ia merupakan pendedahan yang bernilai buat pemain-pemain muda kami.

"Diharap terdapat perkara-perkara positif yang dapat diambil oleh pasukan bagi menghadapi kejohanan akan datang," katanya.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen