Sergio Ramos mengatakan pihak lawan "tidak seharusnya membayangkan sesuatu" apabila bertandang ke Real Madrid -- sebagai sindiran bentuk terhadap Gerard Pique dan Barcelona.

Pasukan kendalian Zinedine Zidane itu kembali ke puncak LaLiga berdasarkan rekod pertemuan mereka menerusi kemenangan 2-0 ke atas Real Mallorca, awal pagi tadi, hasil gol sumbangan Ramos dan Vinicius Junior.

Madrid kembali merampas tangga teratas LaLiga berikutan keputusan pertembungan Barcelona dan Sevilla minggu lalu berakhir tanpa gol, yang mendorong Pique mendakwa bahawa adalah sukar untuk menyekat Los Blancos daripada menjuarai liga memandangkan keputusan video bantuan pengadil (VAR) termasuk pegawai perlawanan sering berpihak kepada seteru ketat itu.

Ramos, bagaimanapun, berpendapat bahawa hujah seperti itu hanya dibangkitkan sekarang memandangkan Madrid memiliki kelebihan dalam pemburuan gelaran.

"Terdapat banyak suara sumbang di media kerana kami kembali menerajui saingan," katanya kepada Movistar.

"Mereka tidak banyak bercakap mengenainya sebelum ini. Mereka bercakap mengenai VAR, tetapi saya tidak fikir ada pasukan yang mempunyai kelebihan seperti itu sepanjang musim ini.

"Kami tidak peduli mengenai tohmahan itu. Saya tidak fikir tindakan mereka (pengadil) telah diaturkan. Bunyinya seperti kami perlu berterima kasih kepada barisan pengadil kerana menjadikan kami sebagai pendahulu liga! Mereka seharusnya tidak membayangkan sesuatu seperti itu.

"Kami telah bekerja keras dan sejak musim ini tertangguh, kami telah bersatu dan kami sememangnya layak berada di kedudukan ini."

Ramos muncul sebagai pertahanan dengan gol terbanyak dalam sejarah LaLiga ketika menentang Real Sociedad minggu lalu dan jaringannya pada awal pagi tadi, yang ke-69, mengangkatnya sebagai pertahanan pertama yang mencapai angka lapan gol dalam semusim sejak Ezequiel Garay melakukannya 13 tahun yang lalu.

Namun, ketua pasukan Madrid itu lebih mementingkan persembahan pasukannya dan mengakui mereka keletihan ketika menghadapi Mallorca.

"Saya selalu berkata bahawa ini adalah permainan berpasukan," katanya.

"Pencapaian peribadi membuatkan anda berasa bangga dan memotivasi, ia juga penting. Tetapi perkara paling mustahak ialah ketekalan pasukan. Ia adalah tugas yang dilakukan dengan baik dan kami memungut tiga mata lagi.

"Pasukan ini keletihan, kami berasakannya. Jelas, kami tidak punya masa yang lama untuk pulih di antara perlawanan dan kami harus terus meningkat. Kami tahu apa objektif yang ditetapkan tetapi ada banyak perkara yang boleh kami perbaiki.

"Aksi kami adakalanya sedikit longgar, tetapi saya berasa secara umumnya kami boleh meningkat semua aspek.

"Kami mungkin mampu membunuh permainan dengan lebih awal dan memanfaatkan deretan peluang lain, lebih mencengkam di kawasan kubu mereka.

"Itulah yang ingin kami lakukan: kami mahu menguasai permainan dengan lebih banyak. "