Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, mempersoalkan mengapa Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak digunakan untuk mengkaji dua kesalahan jelas terhadap Raphael Varane dalam kotak penalti ketika pertemuan Clasico menentang Barcelona yang berakhir tanpa jaringan awal pagi tadi.

Dalam babak pertama di Camp Nou itu, Varane menerima terjahan tinggi daripada Clement Lenglet dan bajunya kemudian ditarik Ivan Rakitic ketika cuba mendapatkan sepakan sudut.

Pengadil, Alejandro Jose Hernandez, tidak memberikan sepakan penalti atau menggunakan khidmat VAR untuk melihat semula insiden itu.

Ramos jelas berang kerana khidmat VAR tidak digunakan walaupun pemain Los Blancos menyaksikan semula insiden itu ketika waktu rehat.

"Kami menontonnya ketika rehat dan ia jelas. Kedua-duanya adalah penalti tetapi kini kami tidak boleh mengubahnya," katanya kepada Movistar.

"VAR ada untuk membantu. Ia nasib malang. Di hari lain, ia akan jadi giliran kami untuk meraih penalti tetapi tidak dilihat semula."

Gareth Bale menyaksikan jaringannya dalam babak kedua dinafikan akibat ofsaid selepas penggunaan VAR tatkala Real gagal menggunakan kesempatan mendominasi aksi awal permainan sambil tiga penggempur Barca bergelut untuk mencipta impak.

Keputusan itu menyaksikan juara bertahan, Barca, kekal di puncak LaLiga tetapi berkongsi mata dengan Los Blancos yang kini tidak tewas dalam 12 perlawanan bagi semua kejohanan.

Ramos -- yang muncul pemain dengan penampilan terbanyak dalam sejarah aksi Clasico selepas melakukannya buat kali ke-43 -- kecewa apabila cuti pertengahan musim akan bermula selepas aksi menentang Athletic Bilbao, Ahad ini tatkala dia mahu mengekalkan momentum.

"Anda tidak boleh gembira apabila tidak menang tetapi mendapatkan sesuatu di sini sentiasa memberikan elemen positif," tambahnya.

"Kami melihat Real Madrid yang hebat hari ini, menampilkan pelbagai personaliti di atas gelanggang yang sukar. Kami mencuri bola sehingga membolehkan kami mencipta banyak peluang. Ada beberapa kesilapan dan inilah keputusan akhir.

"Kami mengawal permainan dengan baik, mencipta peluang yang lebih banyak berbanding lawan. Tidak mudah untuk mendapatkan bola daripada mereka. Strategi tekanan tinggi memberikan impak.

"Kami akan lalui corak permainan yang dinamik dan kami juga dalam aspek fizikal. Mengecewakan apabila menuju akhir tahun kerana kami gembira jika saingan ini tidak berhenti.

"Kini, kami mempunyai Athletic dan diharapkan prestasi ini boleh diteruskan selepas cuti nanti."