Pengendali Real Madrid, Julen Lopetegui, menjelaskan dia tidak menyenaraikan Sergio Ramos dalam skuad terbaru Liga Juara-Juara Eropah kerana pertahanan itu memerlukan rehat.

Kapten dan bek tengah, Ramos, beraksi dalam pertemuan dengan seteru setempat, Atletico Madrid, yang berakhir seri tanpa jaringan dan dia tidak disenaraikan dalam senarai 20 orang pemain yang berkunjung ke CSKA Moscow.

Tatkala Gareth Bale, Marcelo dan Isco tidak dapat beraksi akibat kecederaan, langkah merehatkan Ramos dilakukan demi menghadapi saingan seterusnya, musim ini.

"Ramos tidak mengikuti pasukan ke Moscow kerana dia telah beraksi lebih 120 minit berbanding rakan sepasukannya," kata Lopetegui.

"Kami melihat situasi ini seperti satu maraton bagi keseluruhan musim. Pemain lain boleh hadir dan mengisi tempatnya.

"Itu tugas saya -- duduk di kerusi pengurus dan membuat keputusan-keputusan sebegini."

Madrid hanya meraih empat daripada sembilan mata dalam saingan liga sejak memulakan kempen mempertahankan trofi Liga Juara-Juara membenam cabaran AS Roma, bulan lalu.

Aksi berdepan Atletico merupakan perlawanan kedua yang berakhir tanpa jaringan tetapi Lopetegui percaya keputusan itu bukan sesuatu yang perlu dirisaukan.

"Ia adalah perlawanan getir berdepan lawan sukar.

"Kami memiliki kurang daripada satu hari untuk mempersiapkan diri. Saya rasa secara keseluruhan, banyak perkembangan positif.

"Sudah tentu banyak perkara berlaku tetapi kami membuktikan bahawa Madrid mempunyai ramai pemain yang boleh beraksi dengan baik.

"Malangnya, kami gagal menjaringkan gol. Kami hanya perlu terus mencipta peluang dan berharap dapat menyempurnakannya. Saya yakin ia mampu dilaksanakan."