Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, yakin pasukannya akan kembali ke tahap terbaik walaupun mengalami kekalahan 1-3 di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Selepas tewas di tangan Girona, tiga hari lalu, skuad Los Blancos mengalami kekalahan berturut-turut selepas Dele Alli menjaringkan dua gol dan Christian Eriksen menyumbat satu jaringan untuk memastikan gol sagu hati Cristiano Ronaldo tidak mampu menghalang mereka daripada meraih kemenangan.

Bagaimanapun, Ramos menyifatkan pasukannya yang kini menduduki tangga kedua Kumpulan H, akan kembali ke prestasi asal mereka.

"Kami faham peminat akan mempersoalkan prestasi terkini pasukan tetapi Madrid akan sentiasa berjuang dan jika ada sesiapa yang fikir kami sudah berakhir, kami akan membuktikan mereka silap.

"Berdasarkan pengalaman saya di sini, apabila anda tewas beberapa perlawanan, orang ramai akan mengatakan anda dalam krisis. Anda hanya perlu tenang dan bersatu," katanya.

Ramos juga tidak menafikan kehebatan Spurs selepas bijak menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk menghukum Madrid.

"Mereka beraksi dengan sangat baik dan hebat, berbekalkan stadium dan penyokong yang membezakan di antara mereka dan kami.

"Kami beruntung kerana Borussia Dortmund sekadar seri dengan Apoel, jadi segala-galanya masih baik," tambah Ramos.

Tekanan semakin memuncak buat Madrid dalam saingan LaLiga selepas ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona, sekaligus membuatkan pertemuan dengan Las Palmas pada Ahad ini memerlukan mereka mencatat kemenangan.