REAL MADRID 3 EIBAR 1

Sergio Ramos melaungkan amaran terhadap Barcelona sejurus Real Madrid melakar kemenangan dalam aksi LaLiga awal pagi tadi.


Katua pasukan itu antara pencetak gol ketika Madrid menundukkan Eibar 3-1 di Stadium Alfredo Di Stefano untuk kembali mengancam pendahulu liga, Barca, dengan dua mata hasil kemenangan 4-0 seteru mereka itu di Real Mallorca, semalam.

Toni Kroos dan Marcelo menemui sentuhan penyudah dalam kedua-dua babak yang menyaksikan tuan rumah bermula garang dalam separuh masa pertama, tetapi anak buah Zinedine Zidane itu mempamerkan persembahan kurang meyakinkan selepas rehat lalu apabila pintu gol mereka dibolosi Pedro Bigas yang menyambut umpanan pendek Pablo De Blasis untuk melewati Thibaut Courtois.

Ramos kemudian dibuang padang pada minit ke-61 dengan apa yang digambarkannya sebagai "terjahan ringan" yang meletakkan situasi Madrid bertambah sukar, lantas bek tengah itu tetap senang dengan prestasi pasukannya selepas tiga bulan tidak beraksi berikutan penularan COVID-19.

"Saya gembira dengan tiga mata yang dipungut dan kami dapat beraksi semula," katanya kepada LaLiga. "Kami ada 10 perlawanan final lagi jadi kami harus mengerahkan segala kudrat.

"Agak kekok bagi semua orang susulan tempoh sukar yang dilalui. Sebagai kapten, saya ingin menyampai ucapan agar semoga semua orang terus bersemangat tinggi.

"Ini adalah satu situasi yang aneh, walaupun tidak dapat keluar rumah tetapi kita selalu harus membangkitkan perkara positif berbanding yang buruk.

"Untuk bola sepak kembali diadakan merupakan kebahagiaan buat seluruh negara. Semuanya kembali ke asalnya, ia penting buat semua orang -- kami juga -- untuk kembali ke padang."




Menurutnya lagi: "Saya rasa kami melakukannya dengan baik, kami bekerja keras selama beberapa minggu terakhir ini untuk kembali beraksi dan mengekalkan prestasi yang mungkin kami kehilangannya dalam beberapa bulan terakhir. Kami kembali dan beraksi dengan cara yang terbaik, ada banyak perkara yang boleh kami perbaiki lagi tetapi secara fizikalnya kami dalam keadaan baik.

"Dalam 45 minit pertama, kami menunjukkan ketekalan yang baik dan menjaringkan gol.

"Perlawanan agak kurang sengit dalam babak kedua tetapi itu akan menjadi sesuatu yang kami perlu pelajari dan perbaiki. Secara umumnya, situasi kami bagus, kami sudah mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki dan gembira mendapat tiga mata. Kami akan bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya dengan cara terbaik. "