Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, menggesa pasukannya bersatu menghadapi desas-desus berkaitan pemecatan ketua jurulatih mereka, Julen Lopetegui, andai mereka tewas satu lagi perlawanan LaLiga.

Madrid tewas 1-2 kepada Levante dalam aksi LaLiga, malam tadi, sekali gus meneruskan rekod empat kekalahan daripada lima perlawanan terakhir mereka di bawah Lopetegui.

Ramos sebelum itu menyifatkan tindakan memecat pengendali tersebut sebagai suatu tindakan yang gila.

Lopetegui sebelum ini dipecat selaku ketua jurulatih Sepanyol selepas mengikat kontrak bersama Real Madrid sewaktu saingan Piala Dunia, Jun lalu.

Bagi Ramos, dia selaku ketua pasukan sedia memberi sepenuh sokongan buat Lopetegui biarpun masa depan pengendali itu mungkin bergantung kepada keputusan perlawanan El Clasico menentang Real Madrid, Ahad depan.

"Ia satu rekod buruk yang tidak dapat diterima Real Madrid," kata Ramos kepada wartawan.

"Kami gagal mendapatlkan tiga mata walaupun sudah memberikan aksi terbaik. Mungkin kami akan lebih bernasib baik pada masa akan datang.

"Kesilapan individu mengakibatkan kekalahan ini, namun kami tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa.

"Jalan terbaik menyelesaikan kemelut ini adalah dengan penyatuan pasukan.

"Lopetegui adalah seorang yang banyak memberikan motivasi. Apabila dia meyakinkan kami, kami sepatutnya mempercayainya.

"Dia orang pertama yang sedar bahawa pasukan kami perlu bersatu.

"Jika saya diminta memberikan pendapat, saya akan beri.

"Namun, saya tidak fikir pendapat saya akan mempengaruhi masa depan seorang jurulatih," tambahnya.

Turut senada dengan Ramos adalah seorang lagi pemain kelahiran Sepanyol, Danni Ceballos.

"Saya tidak fikir Lopetegui akan kehilangan tugasnya," kata pemain tengah itu kepada beIn SPORTS.

"Kami sedia mempertahankannya, namun keputusan bukan terletak di tangan kami.

"Keadaan sangat buruk dan kami melalui beberapa keputusan yang buruk.

"Kini kami perlu memperhalusi kesilapan yang kami lakukan dan perlu menjaringkan lebih banyak gol," katanya lagi.