Zinedine Zidane tidak pasti berapa lama Sergio Ramos akan berehat selepas kapten Real Madird itu disyaki patah hidung dalam aksi menentang Atletico Madrid yang berkesudahan seri 0-0 di Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Ramos mengalami kecederaan itu semasa cuba menjaringkan gol dengan kepala sambil melayangkan badan ketika perlawanan menuju waktu rehat. Pemain Atletico, Lucas Hernandez, berusaha mengeluarkan bola, namun sepakan lewatnya terkena muka Ramos.

Pemain berusia 31 tahun itu kelihatan berada dalam masalah apabila darah keluar daripada hidungnya dan dia kemudian direhatkan pada separuh masa kedua.

Dia menyaksikan perlawanan babak kedua dari bangku simpanan ketika rakan sepasukannya berhempas-pulas untuk memecah kubu pertahanan Atletico.

Bercakap selepas perlawanan itu, Zidane berkata: "Ia adalah patah. Saya percaya ia patah. Saya tidak tahu berapa lama dia akan berehat."

Pengarah Perhubungan Awam Real Madird, Emilio Butragueno, berkata: "Ramos akan menjalani ujian tetapi jika dia terlepas perlawanan, ia adalah isyarat buruk.

"Kami perlu berhati-hati dan melihat apa yang dikatakan oleh doktor."

Skuad Zidane seterusnya akan berkunjung ke APOEL untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah, Rabu ini.