Ramos contoh terbaik Real -- Zidane

Oleh Staff Writer 18 Januari 2020 341
Ramos contoh terbaik Real -- Zidane
Zinedine Zidane menyifatkan Sergio Ramos sebagai contoh kepada semua di Real Madrid selepas kapten pasukan itu mengambil keputusan untuk turun berdepan Sevilla dalam aksi LaLiga hari ini.

Ramos menyempurnakan sepakan penalti kemenangan ketika Real menjuarai Piala Super Sepanyol mengatasi Atletico Madrid di Arab Saudi hujung minggu lalu.

Namun, pertahanan berusia 33 tahun itu mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan tersebut dan dijangka terlepas aksi hari ini sehinggalah muncul untuk sesi latihan di Valdebebas semalam.

"Kami mengetahui perwatakan yang dimiliki Ramos," kata Zidane. "Dia sentiasa mahu beraksi. Dia telah melakukan segala yang termampu untuk kembali cergas dan beraksi.

"Dia adalah contoh terbaik buat pasukan. Teladannya harus diikuti oleh semua individu di Real."

Gandingan Ramos, Raphael Varane, dijangka turun membuat penampilan ke-300 bersama Los Blancos minggu ini.

Zidane pertama kali mengendalikan rakan senegaranya itu, yang menyertai juara Eropah 13 kali itu daripada Lens pada 2011, ketika bersama skuad remaja Real.

"Saya mengetahui potensi yang dimiliki Varane ketika berhijrah menyertai Real. Saya mengetahui dia mampu bermain dalam banyak perlawanan.

"Tetapi dalam tempoh lapan tahun, 300 perlawanan bukan sesuatu yang boleh dicapai semua pemain.

"Saya berharap dia mampu bermain 300 lagi perlawanan -- sekurang-kurangnya 100 lagi!"

Di belakang Ramos dan Varane, penjaga gol, Thibaut Courtois, turut menikmati prestasi cemerlang sejak menghadapi tempoh sukar ketika menyertai Real daripada Chelsea sebelum ini.

"Saya berasakan dia telah membuktikan kemampuannya sejak bersama kami. Dia sentiasa sebahagian daripada penjaga gol terbaik dunia.

"Dia mengharungi sedikit sukar, namun berjaya mengatasinya.

"Dengan kerja keras, dia berjaya mengembalikan tahap terbaik dan kami gembira di atas persembahannya."



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen