Ramos cetus komen kontroversi politik Catalunya

Oleh Penulis Jemputan 24 Disember 2017 7322
Ramos cetus komen kontroversi politik Catalunya
Sergio Ramos mencetuskan kenyataan kontroversi mengenai pemimpin Catalan yang kini dalam buangan, Carles Puigdemont, selepas kekalahan 3-0 Real Madrid kepada Barcelona dalam aksi El Clasico, malam tadi. 

Pemain pertahanan Madrid itu turut mengutip kad kuning kerana menghayun tangannya ke muka Luis Suarez pada babak kedua di Santiago Bernabeu.

Apabila ditanya mengenai situasi Madrid semakin tercicir, 14 mata di belakang Barca yang menguasai tangga teratas LaLiga, pemain antarabangsa Sepanyol itu merujuk kepada isu Puigdemont.

Puigdemont dilihat sebagai presiden Catalonia oleh pihak pemisah tetapi digulingkan oleh pihak berkuasa Sepanyol lalu melarikan diri ke Belgium kerana bimbang dipenjarakan.

"Di Barcelona, ​​mereka akan mengatakan saya ditempatkan di penjara bersama Puigdemont. Saya menghadapi cabaran dan menghambat (Suarez) tetapi saya tidak berniat untuk memukulnya," kata Ramos.

Madrid memenangi gelaran kelima mereka tahun ini dengan menjulang Piala Dunia Kelab minggu lalu dan pertahanan tengah itu menegaskan penguasaan mereka tahun ini membuktikan kekalahan El Clasico bukan kegagalan.

"Sila lihat semula pencapaian tahun 2017 dan kaji semula statistik kami," katanya sambil mendesak pemain untuk terus berjuang dalam LaLiga biarpun defisit mereka terlalu jauh dengan Barca.

"Aksi Clasico mungkin adalah kejayaan tambahan tetapi ia bukan penentunya. Kami ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, tewas dan ketinggalan 14 mata.

"Sejarah dan maruah kelab akan memaksa kami untuk berjuang sehingga ke akhir. Kami perlu realistik dan kami masih akan terus berjuang -- itulah DNA kami. 

"Ini lebih menyakitkan daripada perlawanan lain. Kami boleh menggunakannya untuk menilai keupayaan kami agar terus meningkat, kekalahan ini tidak menjejaskan tahun 2017 kami, ia merupakan tahun bersejarah," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen